Sunday, 24 November 2013

PENGURUSAN PUSAT PEMINDAHAN SEMENTARA BENCANA BANJIR

PENGURUSAN PUSAT PEMINDAHAN SEMENTARA BENCANA BANJIR

1.0   PENDAHULUAN
1.1   Am
Banjir adalah satu bencana alam yang berlaku disebabkan oleh faktor klimatologi atau faktor iklim seperti keadaan suhu, taburan hujan, sejatan, pergerakan angin dan keadaan semulajadi muka bumi. Di Malaysia banjir maupun banjir kilat berlaku secara tradisi, terutama di Pantai Timur Semenanjung semasa musim tengkujuh. Perubahan cuaca yang dipengaruhi oleh Monsun Timur-Laut dan Barat-Daya menyebabkan hujan lebat dan banjir terutamanya di kawasan pantai. Purata hujan tahunan adalah sebanyak 3,000 mm tetapi adalah tidak mustahil jika keamatan hujan akibat rebut boleh melebihi 100mm per jam dan 60 mm dalam masa 24 jam. Kira-kira 29,720 km2 atau 9% daripada keluasan Malaysia cenderung untuk dilanda banjir dan ianya mempunyai 4.9 juta atau 21% daripada populasi penduduk Malaysia.

Peningkatan kekerapan berlakunya banjir dalam negara  berlaku secara sama ada semulajadi akibat perubahan monsun ataupun akibat peningkatan kawasan setinggan dalam bandar. Banjir biasanya disebabkan sama ada oleh hujan yang berterusan menyebabkan kuantiti yang lebih besar daripada biasa atau air sungai yang melimpah ke tebing sungai ataupun daripada kedua-duanya sekali. Dasar sungai yang semakin cetek di kawasan hilir akibat daripada banjir yang berulangan berlaku. Keadaan kawasan perbandaran yang didasari oleh tanah liat yang bersifat tidak telap air, cepat tepu dan kurang menyerap air, jika berlaku hujan lebat akan menyebabkan air sungai cepat melimpah ke tebing. Hakisan tebing yang memberikan kesan terhadap ketebalan sedimen dalam sungai juga menyumbang kepada kejadian banjir. Muhd. Barzani Gasim et al. (2007) mengenal pasti banjir yang berlaku di Dungun, Terengganu adalah disebabkan oleh empat faktor: (i) curahan hujan yang tinggi; (ii) aliran sungai yang perlahan; (iii) luruan laut ke arah darat; dan (iv)halaju dan hala tiupan angin ke daratan. Fenomena di atas adalah kesan daripada beza pasang surut yang agak besar di kawasn pantai timur.

1.2   Faktor Penyebab Banjir
Beberapa faktor penyebab yang menyumbang kepada kejadian bencana banjir, antaranya adalah seperti berikut:
(a)                Hujan Berpanjangan / Tanpa Henti
Hujan berterusan dan berpanjangan tanpa henti boleh menyebabkan banjir. Kawasan tadahan hujan terpaksa menerima lebihan kuantiti air yang banyak hasil dari hujan berpanjangan dan akan mengakibatkan banjir berlaku di kawasan sekitarnya.

(b)               Pembangunan Permodenan
Kebelakangan ini, banyak projek pembangunan dijalankan atas dasar pemodenan dan kemajuan sesuatu kawasan. Ekoran itu, ekosistem sesuatu kawasan telah terganggu akibat kerja-kerja pembangunan ini yang melibatkan tarahan bukit, sungai sekitar kawasan pembangunan menjadi sempit dengan mendakan lumpur pembinaan, penebangan pokok-pokok yang menjadi kawasan tadahan hujan. Apabila berlakunya hujan lebat, maka sungai yang sempit tadi tidak dapat menampung kuantiti air yang banyak hasil dari hujan yang turun, dan sekaligus menyumbang kepada berlakunya banjir.

(c)                Hakisan Sungai
Terdapatnya dua (2) faktor utama yang melibatkan hakisan sungai; iaitu (i) hakisan sungai secara semulajadi; dan (ii) hakisan akibat buatan manusia seperti pembungan sampah yang tidak teratur ke dalam sungai. Hakisan pada tebing sungai berlaku perlahan-lahan secara semulajadi akibat hujan lebat ataupun arus yang kuat, dan ia menyebabkan sungai menjadi semakin cetek, dan memungkinkan banjir berlaku.

(d)               Pemusnahan Hutan Simpan
Hutan simpan semulajadi menyumbang kepada penstabilan ekosistem serta penetapan suhu bumi. Melalui hutan, ia membantu dalam menyerap air antara 2% hingga 20% daripada air hujan. Apabila berlakunya pemusnahan hutan yang tidak terancang, ia akan menyebabkan ekosistem hutan tersebut menjadi tidak konsisten. Ini boleh menyebabkan banjir berlaku di kawasan hutan akibat lebihan air yang tidak dapat diserap oleh akar-akar pokok seperti kebiasaanya.

(e)               Kegagalan Perancangan Sistem Perparitan
Perancangan teliti harus dijalankan pada sistem perparitan. Kegagalan merancang boleh mengakibatkan berlakunya banjir samada banjir besar mahupun banjir kilat. Kapasiti aliran air di setiap sistem perparitan haruslah berkadaran terus dengan pembangunan setempat yang dijalankan.


1.3   Kesan Akibat Banjir
Beberapa kesan akibat banjir dapat dilihat yang melibatkan kemusnahan harta benda, kecelaruan sosial, kematian hidupan serta banyak lagi. Antara kesan negatif banjir adalah seperti berikut:
(a)                Kemusnahan Tanaman Pertanian
Tanaman pertanian musnah akibat banjir yang melanda di kawasan pertanian. Ia mengakibatkan kerugian besar kepada petani serta kesan terus kepada pengguna akibat kekurangan bekalan makanan.

(b)               Wabak Penyakit
Ekoran banjir yang melanda, kesan paling ditakuti adalah wabak penyakit yang mungkin disebabkan oleh banjir seperti penyakit taun, malaria serta penyakit berjangkit lain.

(c)                Kemusnahan Harta Benda
Sudah pastinya kemusnahan harta benda akibat banjir yang melanda boleh mengakibatkan tekanan hidup kepada mangsa apabila kehilangan harta benda seperti rumah, pakaian, kenderaan, aset dan banyak lagi.

(d)               Kematian
Kesan yang paling menyayat hati apabila adanya berlaku kehilangan nyawa akibat banjir. Kebiasaanya ianya boleh berlaku jika ciri-ciri keselamatan semasa banjir tidak diendahkan seperti bermain di kawasan banjir yang mungkin kawasan tersebut ditutupi air yang dalam atau akibat benda sekeliling yang boleh mendatangkan kecederaan dan sekaligus menyebabkan kematian.
  
(e)               Kerugian kepada Kerajaan dan Orang Awam
Banjir menyebabkan kerosakan harta awam seperti jalan raya, jambatan, bangunan kerajaan, sistem telekomunikasi dan sebagainya. Kemusnahan ini mengakibatkan kerajaan terpaksa menanggung kos baik pulih aset mahupun peralatan yang rosak.


1.4   Persediaan Awal Sebelum Bencana
Melalui kajian yang dibuat mahupun sejarah lampau sesuatu kawasan berisiko berkaitan potensi mengalami banjir, pemantauan dan pendokumentasian dibuat berdasarkan jenis bencana dan bersedia membangunkan infrastruktur Sistem Amaran Awal Bencana di tempat tersebut. Melalui maklumat tersebut, perancangan pemantapan keupayaan dari segi sumber tenaga dan peralatan dibangunkan dengan lebih sistematik. Pendedahan Sistem Amaran Awal Bencana kepada penduduk sekitar perlu dijalankan dengan kekerapan yang tinggi bagi meningkatkan kesedaran terhadap ancaman yang bakal dihadapi. Atas inisiatif Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) di beberapa Daerah di Johor telah menubuhkan Skuad Pemantau JPAM bagi menilai keadaan semasa paras air dan memberi maklumat awal serta hebahan untuk evakuasi (jika perlu) kepada penduduk setempat melalui rondaan yang dibuat.

Mengenalpasti pusat-pusat pemindahan banjir dengan lebih awal lagi bagi memudahkan urusan evakuasi.  Antara lokasi strategik pemilihan pusat pemindahan banjir adalah seperti Dewan Orang Ramai, sekolah, balairaya, masjid dan lain-lain tempat yang difikirkan selamat untuk menempatkan mangsa banjir. Pemilihan lokasi pusat pemindahan ini perlulah bebas dari sebarang ancaman bencana lain dan selamat. Sekiranya bangunan-bangunan yang telah dikenalpasti itu adalah milik persendirian atau di bawah tanggungjawab agensi lain, maka kebenaran terlebih dahulu perlu diperolehi.  Di antara kriteria dan panduan bagi pemilihan pusat pemindahan adalah seperti berikut:
(a)                Bangunan mempunyai ruangan yang mencukupi dan selamat untuk digunakan;
(b)               Mempunyai kemudahan dan keperluan asas seperti  bekalan air, bekalan elektrik, tandas dan sebagainya; dan
(c)                Lokasi/kedudukannya selamat dari dilanda banjir dan tidak terputus perhubungan.

Persiapan ke arah penyediaan bantuan logistik dan kebajikan dibuat lebih awal lagi.  Bagi kawasan-kawasan yang pada bila-bila masa sering mengalami banjir kilat dan ribut, tahap persediaan sentiasa kemaskini dan dalam status siapsiaga. Bagi kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir, kemudahan pangkalan hadapan sebagai tempat penyimpanan bekalan makanan adalah diperlukan.  Tujuannya ialah supaya bantuan makanan dapat diperolehi dengan kadar segera.  Kemudahan seperti ini juga diperlukan bagi kawasan-kawasan yang sering terputus perhubungan.  Jenis makanan asas yang sesuai ialah seperti beras, minyak, teh, kopi, garam, gula, tepung, ikan masin, susu kanak-kanak, biskut, sardin dan lain-lain makanan kering. Perancangan dan mengenalpasti lebih awal  sumber-sumber bekalan makanan  untuk pusat pemindahan, seperti menentukan jenis-jenis bekalan dan pusat bekalan seperti kedai-kedai, pemborong atau lain-lain sumber, dan juga menentukan tempoh sah kegunaan sesuatu bekalan makanan yang mudah rosak dan sebagainya. Jumlah makanan yang disediakan bergantung kepada jumlah   penduduk.    Walau   bagaimanapun, makanan yang disediakan hendaklah boleh menampung keperluan sekurang-kurangnya untuk 7 hari.  Dalam pada itu, tempoh input kegunaan barang-barang ini hendaklah sentiasa diawasi supaya tidak melebihi  tarikh yang ditetapkan.

Kenderaan dan bot-bot penyelamat hendaklah ditempatkan lebih awal di kawasan yang mudah dilanda banjir bagi mengelakkan sebarang masalah sekiranya jalan raya ditenggelami air dan tidak boleh dilalui.  JPAM bersama agensi-agensi penyelamat lain diletakkan dalam keadaan bersiapsiaga menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir. JPAM sentiasa memastikan semua peralatan menyelamat dan kenderaan berada dalam kondisi terbaik dan boleh digunakan bila-bila masa diperlukan. Kelengkapan menyelelamat ini perlulah dilengkapi dengan lain-lain peralatan seperti jaket keselamatan, pendayung, lampu suluh, lampu limpah, tali, pelampung, khemah, generator dan lain-lain peralatan yang difikirkan perlu dalam operasi menyelamat.

Perancangan awal bagi gerak kerja pegawai dan anggota JPAM dilakukan lebih awal dengan susun atur penugasan mengikut keutamaan. Memastikan senarai nama pegawai dan anggota berserta alamat dan nombor telefon sentiasa dikemaskini bagi membolehkan panggilan bertugas dan kerahan tenaga dapat dilakukan bila diperlukan. Semua ini menjadi tanggungjawab PPAD bagi setiap Daerah.

Sebagai langkah pencegahan, beberapa agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap sistem perparitan dan saliran, perlu mempastikan semua sistem saliran air dibersihkan daripada sampah sarap  terutamanya  sistem saliran di bandar-bandar.  Pengaliran air yang sempurna dapat mengurangkan potensi berlakunya banjir. Papan tanda amaran banjir juga perlu diletakkan di kawasan dan jalan-jalan yang sering dilanda banjir untuk panduan orang ramai.

Program kesedaran dan kependidikan awam hendaklah dilaksanakan secara berterusan dan holistic bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan masyarakat mengahadapi bencana banjir. Latih amal pengurusan dan pengendalian bencana yang melibatkan semua agensi terlibat hendaklah diadakan secara berterusan bagi meningkatkan kompetensi setiap anggota agensi melalui pelarasan yang dibuat oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

No comments:

Post a Comment